Monday, September 21, 2009

Penghasilan Cerpen Daeng Ramliakil:
Titik dan Garisan Awal Makhluk Bernama Cerpen [sebahagian daripada bab dalam buku susunan Dr.Mawar Shafie, UKM dan Nisah Haron, 2009]

Oleh Daeng Ramliakil

1.0 Mukadimah
WACANA ini dihasilkan menerusi titik perasaan dan pemikiran ingin berkongsi pengalaman terlibat dalam dunia keganjilan serta keajaiban Allah swt. mengarahkan hamba-Nya supaya mencipta suatu lingkungan kehidupan dalam lingkungan kehidupan yang lebih besar iaitu kehidupan dalam karya sastera dalam kehidupan manusia, jin serta syaitan; barangkali juga, haiwan. Andai kata wujud pemikiran, saya dan para sahabat saya menulis proses kreatif atau kerja-kerja kepengarangan menjurus ke arah pembentukan rasa angkuh lagi bangga diri yang berdosa itu, unsur itu wajib dimusnahkan sama sekali. Ditegaskan, cerpen atau cerita pendek dalam kelompok prosa mahupun separa prosa dan puisi, tetap berdiri sebagai wacana yang ajaib kerana mendukung dan mengandung pola-pola pemikiran, perasaan, fakta dan data, selain pengalaman manusia. Sejak bersekolah rendah, saya gemar membaca karya sastera, termasuklah cerpen. Namun, secara jujur, saya selalu tidak puas hati hingga kini sesudah membaca cerpen-cerpen Keris Mas, dan pengarang seumpamanya. Kendatipun begitu, ada cerpen Usman Awang, Baha Zain, Shahnon Ahmad, Arenawati, Danarto dan SM Zakir yang bagus. Paling banyak yang bagus tentunya cerpen karangan James Joyce, Honor d’Balzack, Ernest Hemingway, Maxim Gorky, Charles Dickens dan Alexander Pushkin. Memilih hanya sebuah dua cerpen sebagai rekod proses penghasilan amat tidak adil dan tidak membantu bakal cerpenis atau pelajar cerpen, selain perbincangan seakan-akan tidak memahami maksud kreatif serta kurang bijaksana. Seperkara lagi, menamakan dan mengkategorikan cerpen saya dan SM Zakir dengan kosa kata eksperimental memang kurang cerdik. Saya tidak menjalankan percubaan atau uji kaji setiap kali menghasilkan cerpen, sebaliknya, saya sudah yakin wacananya begitu – isi, teknik dan bentuk. Saya yakin, Zakir pun begitu..

2.0 Titik dan Garisan Awal
Daeng menyedari, titik dan garisan awal cerpennya pelbagai rupa. Manusia dan bidang yang memaksa pemikirannya menghasilkan cerpen, antaranya:
2.1 Dunia manusia akademik/ilmuan atau ternama
Cerpen bertajuk Aku di dalam Achdiat Karta Mihardja merupakan tugasan akademik di Universiti Pertanian Malaysia sewaktu Daeng mengikuti kursus Penulisan Kreatif Program Bacelor Pendidikan [1983-1986] kelolaan Prof.Rahim Marasidi. Daeng tidak bermaksud Pak Achdiat, sebagai pensyarah berkelakuan tidak bagus terhadap para siswi, sebaliknya, mengguna pakai nama yang sama [dengan keyakinan beliau berpemikiran terbuka, positif dan bijaksana] untuk menyedarkan pensyarah universiti di dunia ini yang benar-benar tidak bagus terhadap siswi. [Fenomena ini diketahui benar-benar terjadi di UPM saat cerpen ini dihasilkan] Alhamdulillah, sahabat Daeng, Prof.Rahim Marasidi amat teruja, memberi markah tertinggi antara 113 penuntut dan mencadangkan cerpen ini dikirimkan kepada editor akhbar. Daeng ketemu sahabat tua, kakanda Ibrahim Omar yang ketika itu bertugas di Utusan Melayu. Namun, dengan alasan, sukar difahami, cerpen itu gagal mendapat tempat dan tidak disiarkan. Berbulan perasaannya yang terluka itu baharu berjaya disembuhkan. [Sebelum itu, ada kalangan mengetahui perihal markah, Daeng diejek oleh beberapa kenalan sekuliah kerana mereka menganggap markah itu ‘keterlaluan’ sifatnya.]
Cerpen ini mengandungi kehidupan sejumlah manusia yang direkakan tetapi berasaskan kejadian sebenar dan dihukumkan sejajar dengan hukuman Allah swt. Ada kejadian perlakuan tidak bagus, ancaman dosa terhadap perasaan pelaku dan keinsafan. Mengarang cerpen ini tidak sukar malah amat lancar, siap dalam masa kurang daripada 60 minit, sekitar waktu selepas jam 12.00 tengah malam bertempat di rumah sewa di Taman Seri Serdang.
Cerpen Aku di dalam Keris Mas, Aku di dalam Mahathir, Aku di dalam Pak Sako merupakan cerpen dengan titik serupa. Individu berkenaan bukanlah ilmuan dan bijaksana tetapi ternama, kecuali Pak Sako yang memiliki kedua-duanya.

2.2 Cabaran Editor
Cerpen Paris yang disiarkan dalam Dewan Sastera oleh Johan Jaafar yang ketika itu, 1987 menjadi Ketua Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Awal sebelum itu, bermula awal tahun, Daeng menghasilkan beberapa buah cerpen dan dikirimkan kepada Editor Dewan Sastera, namun tidak disiarkan. Daeng pergi ke DBP dan ketemu sahabatnya, Sutung Umar Rs, bertanyakan alasan cerpennya tidak disiarkan. Jawaban yang diterima: ijazah engkau bukannya ijazah sastera. [Maksud yang difahami, Daeng tidak mahir sastera kerana mempelajari pendidikan] Daeng menjawab: baik, selepas ini, aku hasilkan puluhan cerpen lagi berasaskan teori-teori sastera dan cerpenku untuk bacaan siswa-siswi sastera. Suasana membantu. Johan menulis rencana pengarang Dewan Sastera mencabar pengarang. Untuk menyahut cabaran, Paris dihasilkan menggunakan teori ekspresionisme dan impresionisme. Cepat sekali cerpen ini disiarkan penuh di muka tengah majalah itu. Seorang sahabat, Siow Sew Sing memberitahu Daeng, “…waktu itu, saya baharu pulang dari Eropah dan membaca cerpen itu, hati saya terkata-kata, ah, sejak bilakah cerpen Melayu berubah?” Daeng membisu keselambaan.
Mengarang Paris memang menyeronokkan, membahagiakan dan sesuatu yang maksudnya serupa. Apa tidaknya, berani meletakkan imej Melayu dengan puisi Chairil Anwar di dinding bangunan Paris dalam kehidupan manusia dalam cerpen menjadi suatu kepuasan. Perjuangan yang suci. Menara Eifel ditumbangkan dalam cerpen menjadi lambang budaya Paris merosakkan banyak bangsa di dunia, termasuk Jepun dan Melayu. Daeng berusaha menghidupkan setiap kosa kata dalam cerpen.

2.3 Kembara ruh
Cerpen yang memenangi hadiah penghargaan pertandingan mengarang cerpen dan puisi anjuran DPMP dan Yayasan Pahang pada tahun 1987 yang dihasilkan oleh Daeng bermula dengan ingatan terhadap pengembaraan ruh. Entah mengapa, apabila Daeng membaca akhbar The Straits Times dan mendengar cerita beberapa orang rakan perihal Tasik Cini, Pahang, perasaan ingin menyelidik mendadak tiba. Benarkah ada istana di dalam tasik? Lantas, Daeng mengembara dengan ruh, bermula dengan solat dan kemudiannya zikir kepada Allah swt.
Cerpen Baghdad siaran Berita Minggu yang merekodkan banyak fakta sejarah tentang kehancuran Islam di Baghdad di tangan Monggol kerana kekhilafan sultan Arab juga bertitik dari kembara ruh. Waktu itu, Iraq dihancurkan oleh tentera George Bush, lantas Daeng kembara menerusi ruh hingga dapat melihat menerusi terowong waktu betapa ada makhluk zalim, dungu dan memeras rakyat.

2.4 Pengalaman kasyaf
Cerpen Istana Pagaruyung yang dihasilkan bermula dengan keterkejutan Daeng sewaktu merantau ke Istana Pagaruyung, Sumatera, melihat jin berbaju hitam berlembing, berdiri tercegat mengawal laluan ke kolam mandi puteri diraja yang terletak di belakang istana. Cerpen ini sarat dengan kosa kata dialek Minangkabau, dimasukkan dengan niat untuk berkongsi pengetahuan berbahasa Melayu dengan pembaca. Cerpen ini disiarkan oleh Imlan Adabi dalam Watan dan kemudiannya, diantologikan dalam Korporat. Kasyaf ialah terbukanya hijab atau penutup alam ghaib atau pun dimensi kedua dan kita boleh melihat makhluk ghaib, insya-Allah. Pengalaman serupa menghasilkan cerpen Along, Angah dan Usu siaran Berita Minggu dan Terowong Waktu atau bertajuk Julius Caesar pada kaca mata Melayu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Dalam cerpen yang awal, Daeng ke pasar dan dapat melihat ada manusia bertanduk yang bermaksud manusia itu bermartabat jin dan cerpen kedua, Daeng berpeluang bertemu ruh Julius Caesar, sesudah mendirikan solat tahajud.
Cerpen Albert Camusku juga terhasil daripada titik pengalaman kasyaf apabila Daeng dapat ketemu ruh William Shakespeare dan Albert Camus. Cerpen Di Depan Kaabah yang disiarkan dalam Watan juga serupa iaitu apabila Daeng melihat dengan matanya langit terbuka hingga terlihat luh mahfudz, catatan di langit.

2.5 Keinginan motivasi agama dan ilmu
Sebagai guru, kaunselor dan motivator, Daeng memilih cerpen sebagai katalis. Cerpen Dajal siaran Berita Minggu misalnya, berdasarkan pengalamannya di sebuah kuil tua di Bangkok, berinteraksi dengan cucu Sunan Kalijaga, Daeng merasakan betapa perlu dan segera pendakwah Islam, ustaz, ustazah dan mufti keluar daripada menjadi katak di bawah tempurung. Strategi pendakwah Kristian perlu ditiru. Demikian jugalah cerpen Golok siaran Watan yang banyak ayat bahasa Siam.
Beberapa buah cerpen Daeng memang diperkaya dengan puluhan ayat bahasa Arab, Jepun, Jerman dan Mandarin. Titik penghasilannya ialah motivasi ilmu bahasa. Dari sisi yang lain, realiti kajian watak untuk mendekatkan pembaca dengan individu realiti atau manusia yang menjadi model karya.

3.0 Perakaman dan penyiapan cerpen

Bermula sahaja mengarang cerpen, Daeng tidak boleh berhenti, selagi belum siap - disamakannya dengan solat, tidak boleh berhenti atau kerja-kerja itu batal. Perkara yang sama dilakukannya setiap kali Daeng menghasilkan skrip drama televisyen dengan ketebalan 90 halaman hingga 100 halaman iaitu lazimnya kerja-kerja menaip bermula jam 9.00 malam dan siap setelah azan Subuh. Pencetak mencetak karya sewaktu pengarangnya berwuduk dan bersolat, kemudiannya, tidur. Lazimnya, cerpen dikarang dalam sela waktu 30 minit [seperti cerpen Mulut siaran Suara Keadilan, 5, Kata-kata dan Maharaja Berlidah Tujuh siaran Harakah, atau sekitar empat jam seperti cerpen-cerpen yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya [Tamu Tioman], Pelita bahasa, Era dan akhbar Berita Minggu serta Mingguan.

4.0 Penutup

Daeng bersyukur kepada Allah swt., kerana ada peluang menghasilkan cerpen yang serius isi, bahasa dan kritikan. Jika dihitung jumlahnya, cerpen yang disiarkan dan tidak disiarkan, dibakulsampahkan oleh editor, termasuklah puluhan cerpen yang dihasilkan ketika menjadi pelajar tingkatan enam di Sekolah Abdul Rahman Talib, Kuantan, [1972-1973] angka yang munasabah ialah kira-kira 500 buah. Seingatnya, dari tahun 1987 hingga 2009, jumlah cerpen yang dikirimnya menerusi surat, pos laju dan mel e yang dibakulsampahkan ialah kira-kira 150 hingga 200 buah. Paling melukakan, selepas diumumkan memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1996 menerusi antologi cerpen Korporat, Daeng mengemukakan empat buah antologi cerpen yang masing-masing mengandungi cerpen yang sudah teruji, yang disiarkan dalam majalah-majalah DBP dan akhbar mingguan, berjumlah kira-kira 25 buah cerpen bagi setiap manuskrip. Kesemua manuskrip itu ditolak oleh DBP untuk penerbitan. Alahai, 1996 dan saya sudah mengampunkan dosa manusia yang melukakan hati saya itu kerana manusia Islam itu bersaudara kerana agama yang suci iaitu Islam. Alhamdulillah.*






No comments: